Hukum solat Jumaat bagi orang musafir...dan apa hukum jumaat itu sendiri..?
Menurut pendapat majoriti fuqaha, seseorang yang menghadiri suatu perjalanan atau musafir yang mencukupi syarat-syarat mengqasarkan solat, tidak diwajibkan untuk menghadiri solat Jumaat. Ini adalah kerana tidak diterima sebarang riwayat bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ada melaksanakan solat Jumaat dalam mana-mana ekspedisi atau peperangan atau perjalanan yang beliau lakukan sepanjang hidupnya. Ini juga dicontohi oleh para sahabat beliau radiallahu-anhum di mana tidak dinukilkan sebarang riwayat dari mereka, samada ketika masa kehidupan Nabi atau selepas kewafatan beliau, bahawa mereka ada melakukan solat Jumaat ketika musafir.
Walaubagaimanapun amat dianjurkan seseorang yang bermusafir itu agar tetap berusaha untuk menghadiri solat Jumaat berjemaah sebagai mengelak dari pergeseran dengan pendapat lain yang mengatakan solat Jumaat tetap wajib sekalipun bagi orang musafir. Pendapat yang mewajibkan ini berhujah atas dasar bahawa tiada nas atau dalil sahih yang mengatakan bahwa seseorang yang musafir tidak perlu menghadiri solat Jumaat. Oleh kerana tiada dalil yang mengecualikan suasana musafir, maka hukum solat Jumaat ini kembali pada perintah asal, iaitu tetap wajib bagi semua orang, mastautin mahupun musafir.
Tambahan lagi Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengecualikan seorang musafir dari solat Jumaat tetapi hanya mengecualikan mereka yang terdiri daripada [1] wanita, [2] budak belum baligh, [3] orang sakit dan [4] hamba sahaya. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam Jumaat adalah benar, wajib atas semua umat Islam dengan berjemaah kecuali empat golongan - hamba sahaya, wanita, anak-anak atau orang sakit.
Adapun riwayat yang berbunyi Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka wajib ke atasnya solat Jumaat kecuali wanita atau orang musafir atau hamba sahaya atau orang sakit adalah tersangat daif kedudukannya, demikian juga sebuah lagi riwayat lain yang bermaksud Tidak wajib Jumaat atas orang musafir adalah juga daif kedudukannya. Kedua-dua hadith yang daif ini tidak boleh dijadikan hujah pegangan atau sumber rujukan hukum.
Justeru itu sekalipun majoriti para fuqaha berpendapat bahawa solat Jumaat tidak wajib ke atas orang musafir, tetapi sebagai pilihan yang selamat lagi dipertengahan, adalah amat disyorkan bagi seseorang itu untuk tetap berusaha menghadiri solat Jumaat berjemaah. Anjuran ini menjadi lebih berat mengingatkan banyaknya fadilat-fadilat Hari Jumaat itu sendiri beserta keutamaan solatnya, sebagaimana yang banyak dipesan oleh baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Tambahan lagi solat Jumaat di kala musafir membuka peluang untuk kita berkenalan dengan komuniti tempatan dan beramah mesra lagi memperluaskan hubungan sesama umat.
http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg45.htm